Tuesday, 9 October 2012

RUPA BENTUK KURIKULUM ABAD KE 21



  
PENGENALAN
Kurikulum adalah ‘core’ kepada ‘business’ pendidikan. Ia merupakan satu rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi kepada satu generasi lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan individu dan engara. Dalam Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) kedua-dua keperluan dihuraikan seperti berikut :
 " Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan murid yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi serta menyemai, menanam dan memupuk nilai-nilai akhlak yang diingini, di samping menyampaikan ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum itu juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mweujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara. "
[ Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) ]


Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang.
Pembangunan tenaga manusia dan tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan dan pembekalan tenaga pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja. Y.A.B. Perdana Menteri telah menghuraikan bentuk, corak dan tumpuan yang perlu dilakukan.
 "Kita mestilah mempunyai hasrat untuk mencapai taraf yang setinggi-tingginya dari segi ketrampilan pada rakyat kita, dari segi penghargaan mereka akan kemahiran dan pengetahuan serta kemajuan diri, dari segi kemampuan diri, dari segi kemampuan berbahasa, dari segi sikap mereka terhadap kerja dan disiplin, dari segi motivasi mereka terhadap kecemerlangan dan terhadap mendorongkan semangat keusahawanan".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
  "Kita mestilah memastikan bahawa terdapat satu adunan yang seimbang antara golongan profesional, separa-profesional dan ahli ketukangan, selain terdapatnya imbangan yang wajar antara orang-orang mempunyai kemahiran dalam bidang sains dan teknologi, sastera dan ilmu-ilmu sosial".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
Kurikulum bagi abad ke 21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan (dictated) oleh senario yang dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad ke 21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke 21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.






No comments:

Post a Comment

 
SK Tempasuk II - © 2007 Template feito por Templates para Você