Tuesday, 9 October 2012

FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM



Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
  • kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
  • kemahiran berkomunikasi secara berkesan
  • kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
  • kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
  • kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
  • kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
  • kemahiran kepimpinan dan pengurusan


Di dalam usaha ini kurikulum perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :
(a) Pembelajaran Koperatif
Kurikulum berkisar dalam bentuk tugasan, permasalahan dan projek yang dijalankan oleh pelajar dalam kumpulan yang mengandungi berbagai tahap kebolehan. Penglibatan diri dalam kemahiran ‘interpersonal’ merangkumi kemahiran membuat keputusan, mengendalikan konflik dan mengekalkan hubungan baik antara ahli kumpulan.
(b) Berfikir Secara Kritis dan Reflektif
Fokus aktiviti kurikulum kepada kebolehan membuat pilihan dan keputusan berlandaskan sebab-sebab yang rasional serta justifikasi. Minda yang kritis berupaya mengenal pasti andaian-andaian, idea, pandangan membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik atau penghasilan produk baru.


(c) Pengembangan Kreativiti
Kurikulum perlu banyak menonjolkan aktiviti-aktiviti yang kreatif termasuklah berfikir secara logik, membina daya imaginasi dan boleh memberi pandangan. Kreativiti-kreativiti dapat dipupuk apabila individu tersebut diberi galakan.
(d) Kemahiran Generik
Kemahiran-kemahiran generik bolehguna dapat menyediakan tenaga pekerja yang mahir, cekap dan berketrampilan di tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketrampilan menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai kepakaran akan begitu mobile dan kerap bertukar kerja. Penguasaan kemahiran generik memberi peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam bidang yang berlainan.
(e) ‘Multilinggualism’
Arus globalisasi dan ledakan maklumat memerlukan kebolehan pelbagai bahasa untuk Rakyat Malaysia perlu menguasai dua bahasa atau lebih (selain daripada Bahasa Melayu) supaya boleh berkomunikasi dengan berkesan, dan berupaya menggunakan segala maklumat dalam pelbagai bahasa.
(f) Patriotisme dan Ketatanegaraan
Kesinambungan pembinaan semangat patriotisme dan identiti kebangsaan dilanjutkan. Kebudayaan nasional, ideologi dan aspirasi nasional akan dapat mengukuhkan lagi identiti kebangsaan dan membentuk bangsa Malaysia yang berwibawa dan bermoral tinggi.
(g) Penghayatan Nilai-Nilai Murni
Pemupukan dan penghayatan nilai murni masyarakat Malaysia dilanjutkan di samping nilai-nilai baru masyarakat moden. Hanya insan baik, beradab dan bermoral tinggi mampu menguasai ilmu-ilmu baru tanpa mengorbankan agama, akhlak dan kebudayaan bangsa. Insan baik, sedar insaf bahawa ia perlu menguasai ilmu bagi melaksanakan tugas terhadap dirinya, Tuhan, keluarga dan masyarakat manusia serta alam sekelilingnya.
(h) Pelbagai Kecerdasan
Setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolahan yang berbagai. Kesemua potensi seperti yang disarankan dalam teori Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences) iaitu verbal-linguistik, logiko-matematik, muzik, spatial, bodily-kinesthetic, inter-personal, dan intrapersonal diberi tumpuan. Ini dapat melahirkan individu yang holistik dan seimbang.
(i) Kemahiran Belajar Untuk Belajar
Kemahiran belajar diajar seiringan dan disepadukan dengan pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Kemahiran membaca pantas, mencari dan memilih maklumat, merujuk, membuat nota, menulis ringkasan, bercakap di khalayak ramai dan sebagainya diberi penekanan dan disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran

No comments:

Post a Comment

 
SK Tempasuk II - © 2007 Template feito por Templates para Você